April 19, 2011

Setia

  Secara fitrahnya manusia itu adalah makhluk sosial, punyai kehendak dan keperluan untuk berkawan, berkerjasama, saling bantu membantu atau saling mempergunakan antara satu sama lain. Tiada seorang pun di dunia ini yang mampu atau ingin hidup sendirian tanpa orang lain. Dan merupakan suatu fitrah juga bagi manusia itu menginginkan seorang yang boleh dia percayai sepenuhnya sebagai teman hidup. Itulah tempat seorang isteri atau suami. Bertapa cantiknya Allah SWT menggambarkan peranan seorang suami dan isteri dalam ayatnya yang berbunyi:

Dihalalkan bagimu pada malam Ramadan untuk bersetubuh dengan isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri, tetapi dia menerima taubat mu dan memaafkan kamu...” (al-Baqarah:187)

Suami isteri itu diibaratkan sebagai pakaian satu sama lain. Suami adalah pakaian isteri dan isteri adalah pakaian suami. Pakaian berfungsi untuk melindungi, memberi keselesaan, mencantikkan, menggambarkan peribadi, menutup kelemahan, menampakkan kelebihan dan sebagainya.

Daripada perkara tersebut dapat kita ambil beberapa pelajaran di sini:

  1. Suami sebagai pakaian isteri

    1. Perlindungan fizikal
Suami adalah pelindung isteri daripada sebarang bahaya yang mengancam dirinya, baik dari seorang lelaki lain yang berkeinginan buruk terhadapnya mahupun dari sebarang bentuk ketidakadilan yang berlaku pada isteri. Secara mudahnya dapat kita simpulkan, suami perlu melindungi isterinya dan menyayangi isterinya sebagaimana dia melindungi dan menjaga dirinya sendiri daripada sebarang bahaya dan malapetaka.

    1. Perlindungan mental
Suami juga turut berperanan mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada isterinya. Isteri adalah orang yang paling banyak berinteraksi dan mendidik anak, lantas kebahagiaan dan kebijaksanaan anak itu tergantung banyak kepada kebijaksanaan isteri. Pendapat yang mengatakan islam cuma menyuruh isteri tidak perlu berpendidikan tinggi adalah silap. Di dalam islam terlalu banyak contoh-contoh isteri yang menjadi ulama’ dan tempat rujukan masyarakat terutama kepada wanita juga. Bahkan Rasulullah SAW telah menumpukan sebahagian masa beliau yang sangat berharga itu untuk mendidik ummahatul mukminin (gelaran bagi isteri-isteri nabi) dan seluruh kaum wanita .

Pendidikan bagi para isteri merupakan tanggungjawab seorang suami. Suami tidak boleh melepaskan tangan terus daripada tanggungjawab ini. Isteri perlu diajarkan semua pelajaran yang diperlukan olehnya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri. Selain itu yang lebih utama isteri perlu diajarkan tentang pendidikan agama agar suami isteri nanti sama-sama mendapat keredhoan daripada Allah yang bermakna ganjarannya syurga.

    1. Perlindungan iman
Isteri juga perlu dibimbing dengan keimanan dan ketakwaan. Suami akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti seandainya isterinya tidak dapat bersama-samanya memasuki syurga. Allah berfirman, “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu....” (at-Tahrim:6)

Mengapa masih ada keraguan lagi bagi seorang wanita untuk bergelar isteri? Anda akan mendapat kasih-sayang, perlindungan, ilmu, pelajaran, bimbingan, dan perhatian penuh dari seorang yang bernama suami. Malah di dalam sebuah hadis nabi, “Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Ketika seseorang masuk syurga, ia menanyakan orang tua, isteri dan anak-anaknya. Lalu dikatakan kepadanya, “Mereka tidak mencapai darjat amalan mu.” Dia berkata, “Ya tuhanku, aku beramal bagiku dan bagi mereka.” Lalu Allah memerintahkan untuk memasukkan keluarganya ke syurga menyusulinya.” Setelah itu Ibnu Abbas membacakan, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”(at-Thuur:21)

    1. Perlindungan naluri
Suami bertanggungjawab memuaskan nafsu isteri selagi mampu. Sesetengah ulama' mewajibkan suami menyetubuhi isterinya minimal setiap kali dia suci dari haidh bermakna sebulan sekali. Sesetengah yang lain mewajibkan tidur bersama isteri minimal sehari dalam empat hari.

    1. Perlindungan dari melakukan kesilapan

Seseorang itu sukar sekali mendapat teguran yang jujur dari orang yang tidak mengasihinya. Hanya orang yang benar-benar kasih kepada kita akan berani menanggung risiko di marahi untuk menegur kesalahan dan kesilapan diri kita. Lantas suami lah orang yang akan sentiasa memerhati perbuatan kita sehari-hari dan akan menjadi orang yang pertama menegur setiap kesilapan diri kita.

    1. Perlindungan-perlindungan yang lain
Suami juga perlu berlemah lembut dengan isterinya. Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”1

  1. Isteri sebagai pakaian suami

Begitu juga seorang suami, pernikahan bagi anda mewajibkan seorang wanita untuk patuh terhadap segala suruhan anda selagi tidak bertentangan dengan suruhan Yang Esa. Pernikahan menjadikan seorang isteri hanya akan menumpukan seluruh hidupnya untuk menemani segala perjalanan yang anda pilih untuk melaluinya.

    1. Perlindungan maruah dan kehormatan

Isteri adalah penjaga maruah suami. Isteri perlu menjaga dirinya tatkala suami keluar dari rumah. Isteri lah yang menguruskan rumah tangga suaminya sehingga seorang suami dapat memberikan yang terbaik dalam bidang yang diceburinya. Berapa ramai isteri-isteri orang-orang besar yang tidak dikenali. Mereka telah berjaya menguruskan rumah tangga mereka dengan baik sehingga suami-suami mereka berjaya menjadi seorang yang terhormat di mata masyarakat.

Peranan yang cukup besar ini diakui oleh barat sendiri, mereka meletakkan peraturan harta sepencarian yang memberikan isteri separuh dari harta suami seandainya mereka bercerai.

    1. Perlindungan naluri

Isteri wajib menerima ajakan suami ke tempat tidur seandainya tiada alasan yang syar'i seperti sakit dan sebagainya. Ini jelas dinyatakan di dalam hadis, “Dari Abu Hurairah ra, Nabi s.a.w telah bersabda, “Apabila seorang isteri tidur dengan keadaan lari dari katil suaminya iaitu tidak mahu disetubuhi, para Malaikat melaknat nya sehingga dia bangkit dari tidurnya di waktu pagi”
(Hadis riwayat Muslim)

    1. Perlindungan iman

Isteri juga bertanggung jawab menjaga iman suaminya atas dalil yang sama, “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu....” (at-Tahrim:6)

    1. Perlindungan dari melakukan kesilapan

Seorang sukar sekali mendapat teguran yang jujur dari orang yang tidak mengasihinya. Hanya orang yang benar-benar kasih kepada kita akan berani menanggung risiko di marahi untuk menegur kesalahan dan kesilapan diri kita. Lantas Isteri lah orang yang akan sentiasa memerhati perbuatan kita sehari-hari dan menegur setiap kesilapan diri kita.

    1. Perlindungan dari membukakan keaiban

Seorang isteri akan menjaga keaiban diri suaminya dari mata masyarakat kerana suaminya adalah sebahagian dari dirinya sendiri.

Begitulah keindahan mendapat pakaian suami atau isteri. Pernikahan yang sebenarnya memberikan kita seorang pembantu setia yang kebanyakkan masa dalam kehidupannya akan dihabiskan kepada kita. Segalanya akan dikongsi bersama, susah dan senang, sakit dan gembira, semuanya dihadapi berdua.
1Diriwayatkan oleh Tirmidzi, lafaz ini sahih baginya. Al-Hakim berkata, “para perawinya terpercaya berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim”

Tidak ada komentar: